KATA ALU-ALUAN
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Pembentukkan insan yang bersahsiah mulia, berilmu pengetahuan dan berjiwa murni mestilah dimulakan daripada usia yang muda lagi. Bak kata pepatah orang-orang tua, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya lagi”. Insan yang cemerlang kemudiannya secara positif akan dapat memberikan sumbangan kepada agama, bangsa dan negara.
Cabaran untuk melahirkan insan yang cemerlang pada hari ini adalah tanggungjawab semua pihak termasuk insan itu sendiri. Untuk merealisasikan hasrat ini, ibu bapa perlu memberikan didikan yang sempurna kepada anak-anak sejak dari bayi lagi. Manakala, para pendidik juga berperanan besar dalam menerapkan nilai-nilai murni semasa anak-anak tersebut berada di alam persekolahan.
Remaja khususnya, perlu melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh kelab-kelab atau persatuan-persatuan yang menjalankan aktiviti-aktiviti berfaedah. Menjadi salah seorang ahli kelab dapat mendorong mereka secara langsung atau tidak langsung dalam membentuk insan yang seimbang dari segi mental dan fizikal.
Penubuhan Kelab Remaja Kembara ini adalah untuk mendokong hasrat tersebut agar pembentukkan insan cemerlang dapat menjadi suatu kenyataan. Remaja merujuk kepada golongan yang berusia dalam lingkungan umur 12 hingga 21 tahun. Pada peringkat ini, remaja mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi, sukakan cabaran dan mempunyai keupayaan fizikal yang sentiasa aktif. Kelab Remaja Kembara ini dapat menepati citarasa remaja dan mereka dapat menyerlahkan potensi yang ada dalam diri masing-masing melalui program-program yang dianjurkan oleh kelab.
Akhir kata, penubuhan Kelab Kembara ini mempunyai visi dan misi yang tersendiri bagi menggerakkan usaha untuk melahirkan generasi remaja yang berakhlak dan cemerlang.